Amy Nur Tinie mahu balas jasa

Amy Nur Tinie mahu membalas jasa ibunya yang banyak berkorban ketika membesarkannya.
Amy Nur Tinie mahu membalas jasa ibunya yang banyak berkorban ketika membesarkannya.
A
A
A

PENGORBANAN membawa definisi yang cukup luas dan berbeza bagi setiap individu.

Perjuangan dalam menegakkan agama, waima untuk bangsa, tanah air, keluarga dan individu lain turut merangkumi erti berkorban.

Begitu jugalah halnya apabila soalan serupa diajukan kepada personaliti tinggi lampai yang memulakan perjalanan kariernya dalam dunia peragaan dan pengacaraan, Amy Nur Tinie.

Wanita berdarah kacukan Arab di sebelah bapa dengan ketinggian 173 sentimeter itu mengakui, pengorbanan pada perspektif dirinya meliputi prospek yang cukup bermakna dan mendalam.

“Ia (pengorbanan) ada banyak cabangnya sama ada pada diri sendiri, famili, kerjaya, bangsa dan negara.

“Kalau nak bercakap mengenai hal itu, saya dibesarkan daripada pengorbanan seorang ibu tunggal yang banyak berkorban untuk membesarkan anak-anaknya,“ ujarnya yang mesra dengan panggilan Tinie.

Pemilik nama penuh Amy Nur Tinie Abdul Aziz itu menambah, kini menjadi gilirannya pula untuk membalas pengorbanan ibu tercinta, Amy Sally, 55.

“Kalau nak dinilai pengorbanan ibu, memang rasanya sampai bila pun tak cukup untuk saya balas, tetapi saya anggap kini giliran saya untuk berbakti kepada keluarga dan jaga ibu sebaik-baiknya.

“Pengorbanan itu bukan hanya dengan duit dan tenaga sahaja, tetapi ia lebih besar daripada itu,“ jelasnya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Amy Nur Tinie berharap mendapat ruang dan peluang melebarkan sayap dalam dunia penyiaran dan radio.
Amy Nur Tinie berharap mendapat ruang dan peluang melebarkan sayap dalam dunia penyiaran dan radio.

Program sendiri

Bukan hanya omongan kosong, Tinie yang pernah mengecap pelbagai kejayaan dalam dunia ratu cantik seperti Miss Eco International 2019, Miss Malaysia Kebaya 2016, Juara KBJ Ratu Kebaya 2015 dan banyak lagi kini sedang giat mencari peluang untuk melonjakkan namanya dalam bidang seni.

Biarpun adakalanya dibayangi pelakon Puteri Aishah, pelakon yang memulakan karier menerusi filem 10 Tips Tipu Bini itu, percaya dengan rezeki dan takdir yang ditentukan ALLAH SWT.

“Sejujurnya kadang-kadang saya terasa bila orang tidak mengenali siapa itu Amy Nur Tinie, tetapi jika nak diukur pencapaian mahupun hasil lakonan saya, saya tidak mahu terus terbawa oleh emosi.

“Lucu juga bila masih ada yang keliru dan menyangkakan saya Puteri Aishah termasuk diajak bergambar, walaupun Puteri Aishah lebih kecil daripada saya. Tidak kurang juga yang hanya mengetahui saya sebagai model dan pemenang beberapa pertandingan ratu cantik.

“Namun, saya percaya pada rezeki dan takdir yang ditentukan ALLAH SWT. Ada orang yang ambil masa bertahun-tahun untuk dikenali dan saya pula baru tahun keempat dalam industri seni,“ katanya yang tidak mahu mengambil jalan mudah dengan mencipta kontroversi untuk dikenali.

Kepada SinarPlus, Tinie menegaskan, beliau tidak hanya mahu terikat dalam bidang lakonan semata-mata.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik perempuan itu berharap mendapat ruang dan peluang melebarkan sayap dalam dunia penyiaran dan radio.

Jelas Tinie yang memulakan karier sebagai pengacara program Tumit Tinggi dan Santai Jer di RTM pada tahun 2019, beliau berharap mempunyai sebuah program bual bicara sendiri suatu hari nanti.

“Sejujurnya jiwa saya lebih kepada bidang pengacaraan, saya suka bercakap. Pada awal pembabitan dalam dunia seni, saya ada dapat tawaran sebagai pembaca berita dan penyampai radio.

“Namun, saya tak nak tamak dan bolot semua. Jadi, saya lepaskan tawaran itu bagi memberi perhatian dalam bidang lakonan.

“Sekarang ini, saya berharap akan wujud ruang itu sekali lagi. Mana tahu rezeki saya lebih baik dalam arena itu,“ ujarnya yang bakal muncul dengan filem Sue-On selepas filem Jemputan Ke Neraka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!