Polis siasat laporan orang awam dakwa menteri 'ceroboh' KLIA

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Hussein
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis pada masa ini adalah untuk menentukan sah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden itu.

"Buat masa ini, siasatan polis dijalankan mengikut KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

"Pada peringkat ini, kita sedang mengenal pasti individu yang akan kita panggil untuk dirakam keterangan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hussein berkata, pihaknya setakat ini hanya menerima satu laporan polis berhubung dakwaan 'pencerobohan' dilakukan King Sing.

"Laporan itu dibuat orang awam," katanya.

Pada Khamis, tular laporan portal mendakwa kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk 'menyelamatkan' seorang pelancong dari China.

King Sing kemudian tampil mempersoal siapa sebenarnya yang menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas.

Mengakui dirinya menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu sebaliknya bersyukur kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan serta merta selepas insiden itu dilaporkan pihak media.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Imigresen pula menunggu laporan penuh insiden kekecohan terbabit sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pula memaklumkan, agensi itu akan membuka siasatan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku di KLIA dan akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!