KJ tidak akan henti bercakap mengenai UMNO - Khaled Nordin

Mohamed Khaled pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor.
Mohamed Khaled pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin enggan melayan kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat terus memburukkan UMNO.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi itu, Khairy Jamaluddin tidak akan mengeluarkan kenyataan yang baik terhadap UMNO.

"Kalau saya jawab kenyataan Khairy Jamaluddin, dia tidak akan berhenti bercakap malah akan terus bercakap.

"Semenangnya kita tidak menjangkakan dia akan mengatakan yang baik terhadap UMNO," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan Khairy Jamaluddin menyifatkan UMNO umpama terjatuh ke lembah gelap dan sukar dipulihkan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui meskipun masih sayangkan parti itu, namun beliau sendiri tidak pasti sama ada UMNO boleh pulih atau sebaliknya.

Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dipecat keahliannya daripada UMNO.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, UMNO sebagai sebuah parti memperjuangkan hak orang Melayu masih relevan ketika ini dan parti yang berasaskan kaum tidak patut ditolak sepenuhnya.

Beliau berkata, apabila ada perkara yang menyentuh ataupun berkisar dengan hal-hal orang Melayu, UMNO akan ke depan seperti isu kalimah ALLAH.

"Walaupun ada suara yang menyatakan bahawa hari ini parti yang berasaskan kaum sudah tidak lagi relevan, rekod UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan orang Melayu mampu membentuk kerajaan melalui bentuk kerjasama dengan semua kaum.

"Penting bagi sesebuah parti menyedari negara yang majmuk seperti Malaysia tidak boleh ada satu parti yang memerintah dan ini telah diamalkan UMNO sejak sekian lama. Sebab itulah kita akan terus memainkan peranan kita lebih-lebih lagi ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:UMNO terjatuh dalam lembah gelap, sukar pulih - KJ

KJ didakwa raih populariti dengan burukkan UMNO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!