KDA FC turun tanpa Ott, Tuck
KEDAH Darul Aman (KDA) FC kehilangan dua tonggak utamanya apabila bertemu Terengganu FC (TFC) pada aksi ke-15 Liga Super 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam Isnin.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, kapten pasukan, Manuel Ott dan pemain naturalisasi, Lee Tuck tidak dapat diturunkan pada aksi penting itu disebabkan menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Menurutnya, Sang Kenari berdepan misi sukar untuk mencuri mata di Kuala Terengganu, namun beliau tetap percaya kepada bakat tempatan untuk mengisi tugas yang sebelum ini digalas oleh Ott dan Tuck.
"Kita terasa ketiadaan Manuel Ott, Lee Tuck dan juga saya sendiri dalam pasukan yang akan berdepan Terengganu pada 3 Julai.
"Ini adalah satu misi yang berat buat kami yang akan beraksi di tempat lawan kerana kita tahu mereka adalah satu pasukan yang hebat dan memiliki pemain berpengalaman," katanya mengulas pertemuan dengan bekas pasukan kendaliannya itu.
Nafuzi dan Ott masing-masing digantung tiga dan dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu KDA FC tewas kepada PDRM FC di laman sendiri pada aksi Liga Super 4 Mac lalu.
Tuck pula digantung berikutan memungut tiga kad kuning dalam beberapa aksi sebelum ini.
Nafuzi berkata, Sang Penyu juga liat untuk dijinakkan di laman mereka dan pada waktu sama menunjukkan perkembangan permainan yang semakin meningkat dari segi keupayaan pada setiap perlawanan.
Menurutnya, perancangan telah dilakukan bagi menghadapi perlawanan tersebut dalam usaha tidak tercicir mata kerana mereka mahu terus kekal dalam kelompok atas Liga Super.
"Saya jangka perlawanan ini berbeza jika dibandingkan dengan keadaan semasa kali pertama kami menentang mereka di Stadium Darul Aman sebelum ini," ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!