Plaza Tol Gombak sesak, orang ramai kembali ke kota
GOMBAK - Aliran trafik sesak dari arah Pantai Timur menuju ke Gombak berikutan orang ramai mula pulang ke kota selepas menyambut Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Gombak sehingga jam 5 petang mendapati pergerakan kenderaan mulai perlahan.
Bagaimanapun, kecekapan petugas di sekitar plaza tol sedikit sebanyak menjadikan keadaan lalu lintas terkawal.
Menurut Lebuhraya Pantai Timur (LPT), trafik juga dilaporkan sesak dari Kilometer (KM) 76 ke Plaza Tol Bentong hala barat yang berjumlah sejauh 14.2km.
Keadaan sama berlaku dari plaza tol berkenaan hingga KM51.8 (Bentong-Bukit Tinggi) yang berjarak sehingga 10km.
Pergerakan trafik turut dilaporkan sesak dari KM46.6 ke KM37.6 (Bukit Tinggi-Genting Sempah).
Orang ramai yang sedang dalam perjalanan diingatkan untuk berhati-hati dan berhenti rehat sekiranya mengantuk di hentian sekitar lebuh raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!