Trafik sesak, Kota Bharu ke Gua Musang lima jam
Malah perjalanan dalam negeri seperti dari Kota Bharu ke Gua Musang yang kebiasaannya mengambil masa kira-kira tiga jam menjadi lima jam akibat pertambahan jumlah kenderaan.
Pengguna jalan raya Wan Noriani Wan Abdullah, 35, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur berkata dia pulang hari ini kerana menjangkakan semalam banyak perantau sudah mula pulang ke ibu negara.
"Tetapi jangkaan saya meleset apabila tetap terperangkap dalam aliran lalu lintas yang bergerak perlahan.
"Saya bertolak dari Kota Bharu 9 pagi tadi dan hanya tiba di Gua Musang pada 2 petang. Cadangan awal nak berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Rantau Manis tetapi tempat tersebut penuh dengan perantau, jadi saya berhenti di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di R&R Mutiara, Tanah Putih pada Ahad.
Tinjauan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis mendapati kenderaan yang menghala ke Kuala Lumpur semakin bertambah serta memberi kesan kepada aliran trafik, malah sejak semalam, ada perantau yang mengambil masa hingga 14 jam untuk pulang ke kota berbanding tujuh ke lapan jam kebiasaannya.
Bagi mekanik Mohd Shakirin Mohd Nasaruddin, 44, yang ingin pulang ke Setapak berkata, kesesakan menyebabkan ada pemandu yang bertindak memotong barisan.
"Dekat susur masuk ke laluan utama dari arah depan Petronas Persiaran Raya Gua Musang ramai yang keliru dan tidak perasan laluan dua lorong menjadi satu lorong, jadi kenderaan banyak yang dilihat memotong barisan, tindakan itu turut membuatkan aliran trafik menjadi semakin perlahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata bilangan kenderaan bertambah dari semalam sehingga hari ini (Ahad).
"Berlaku pertambahan kenderaan dari semalam ekoran pergerakan serentak perantau ke ibu kota setelah cuti Aidiladha berakhir.
"Sejak semalam, pihak polis telah melaksanakan beberapa langkah penyuraian trafik bagi mengurangkan kesesakan,” katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!