Pemuzik terkenal, Kelly meninggal dunia
PEMUZIK bebas yang juga pemain bass terkenal tanah air, Kelly, dilaporkan telah meninggal dunia pada 5.30 petang Sabtu.
Difahamkan Kelly atau nama lengkapnya Wan Kelly Abdul Rahman, 47, rebah di pentas dan menghembuskan nafas terakhir ketika mengadakan sesi latihan sebagai persiapan persembahan Malam Kasih Amal di Ipoh, Perak yang dijadualkan berlangsung pada sebelah malamnya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumah di Bandar Sri Damansara dan dijangka akan dikebumikan pada pagi Ahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor.
Allahyarham Kelly merupakan pemuzik profesional yang sering mengiringi persembahan ramai artis terkenal tanah air, selain banyak terlibat dalam proses rakaman album kebanyakan penyanyi di Malaysia termasuk Dayang Nurfaizah.
Allahyarham Kelly meninggalkan seorang isteri, Zeti, dan tiga anak iaitu Wan Adam Nuqman, 20, dan kembar, Wan Afri Zareeth, Wan Efra Armand, 15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!