R&R Temerloh sesak, orang ramai mula kembali ke Lembah Klang
TEMERLOH - Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh hala Kuala Lumpur pada Ahad sesak dengan kehadiran pengguna Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang ingin pulang ke ibu kota selepas bercuti sempena Aidiladha tahun ini.
Difahamkan kesesakan itu bermula sejak Jumaat lalu dan berterusan hingga Ahad.
Malah pengguna terpaksa bersabar serta berdepan kesesakan di laluan masuk dan keluar dari hentian tersebut.
Seorang petugas Rela mengakui kesesakan tersebut hingga ada pengguna tidak dapat berehat seketika di hentian itu kerana tempat meletakkan kenderaan sudah penuh.
Dalam pada itu, bagi seorang operator kilang, Muhamad Izri Syuhairi Khairil Yusri, 24, memberitahu perjalanan dari kampung halamannya, Chenor masih berjalan lancar hingga ke hentian tersebut.
"Risau juga pada mulanya tapi syukur setakat ini perjalanan lancar dan berharap di Karak, Bentong nanti turut lancar walaupun dapat tahu laluan di sana sudah sesak," katanya yang bertugas di Shah Alam.
Sementara itum seorang surirumah, Yana Ismadi, 29, menyifatkan tahun ini lebih sesak berbanding tahun lepas.
Dia bersama suami dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke Klang turut berharap perjalanan mereka lancar hingga ke destinasi.
Bagi penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP), Najmi Roslan, 26, pula, dia mengakui perjalanan dari Kemaman menggunakan motosikal banyak membantunya ketika berdepan kesesakan.
"Naik motosikal banyak membantu tapi sepanjang perjalanan tadi memang nampak jalan sesak di beberapa laluan.
"Dan apa yang saya dapat tahu tadi, di Karak lagi sesak dan berharap perjalanan lancar dan tidak berdepan sebarang masalah," ujar Najmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!