Buka pintu rumah untuk perantau guna tandas
SHAH ALAM - Tindakan pemilik sebuah rumah di Terengganu yang membenarkan pengguna jalan raya menggunakan tandas di rumahnya ketika berdepan kesesakan jalan raya mendapat pujian orang ramai.
Menerusi gambar yang dimuat naik pengguna Facebook, Nik Norkatijah, pemilik rumah di Kampung Saujana, Setiu itu meletakkan papan tanda 'tandas percuma' di hadapan rumah.
"Semalam masa sangkut 'jem' melekat tak bergerak lima jam, ada satu rumah buka pintu seluasnya dengan papan tanda depan rumah. 'Tandas free (percuma), masuk sahaja' ditambah emoji senyum.
"Semoga diluaskan rezeki tuan rumah pakcik makcik santuni perantau yang duduk dalam kereta dengan 'nature call' di hujung tanduk," tulis pemilik akaun berkenaan.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook dipercayai pemilik rumah berkenaan, Muhammad Apih turut meninggalkan komen mengenai situasi berkenaan.
"Kesian perantau sangkut 'jem' dua, tiga jam tak gerak. Laluan jalan 'short cut' (pintas), surau atau stesen petrol jauh lagi. Siapa yang pernah alami sahaja yang tahu," katanya.
Dalam pada itu tinjauan aliran trafik mendapati keadaan mula sesak dari arah Pantai Timur menghala Gombak susulan orang ramai mula pulang ke ibu negara selepas menyambut Hari Raya Aidiladha.
Trafik dilaporkan sesak sejauh 14.2 kilometer (km) dari KM76 ke Plaza Tol Bentong hala barat dan 10 km dari plaza tol berkenaan ke KM51.8 (Bentong-Bukit Tinggi).
Pergerakan trafik turut dilapor sesak dari KM46.6 ke KM37.6 (Bukit Tinggi-Genting Sempah).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!