FAM teruskan langkah hampiri VAR
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) terus komited untuk mengaplikasikan penggunaan Teknologi video bantuan pengadil (VAR) apabila menghantar beberapa pengadil ke Singapura untuk belajar mengenai teknologi tersebut.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pengadil tersebut diberikan pendedahan cara untuk mengendalikan serta pemasangan sistem teknologi itu.
Menurutnya, ia akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai pelaksanaan VAR tersebut selain turut memaklumkan jumlah perbelanjaan untuk sistem itu akan diumumkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat.
"Lawatan VAR itu di adalah di bawah MFL, kita dijemput dan menghantar pengadil.
"Jadi kita menghantar pengadil untuk melihat bagaimana cara pemasangan dan penggunaan di sana, dan ‘costing’ itu pula MFL akan umumkan," katanya pada sidang media selepas Kongres FAM kali ke-59 pada Sabtu.
Sebelum ini, impian untuk melihat VAR digunakan dalam saingan Liga M makin hampir selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberikan bayangan ia akan digunakan pada aksi final Piala Malaysia Disember depan.
FAM bersama MFL akan melaksanakannya secepat mungkin bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini, sekali gus dapat mengurangkan sebarang kontroversi babitkan isu pengadilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!