Rakyat harus sokong kerajaan, pelajari falsafah 'Segulai Sejalai'- Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Merarau Ngiling Tikai di Dewan Suarah Sri Aman pada Ahad. - Foto Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Merarau Ngiling Tikai di Dewan Suarah Sri Aman pada Ahad. - Foto Bernama.
A
A
A

BETONG (Sarawak) - Falsafah 'Segulai Sejalai' (Seiring Sejalan) masyarakat Dayak amnya dan Iban khususnya harus dipelajari oleh rakyat Malaysia agar menjadi pegangan yang mampu menyatu serta memperkuatkan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, falsafah itu adalah pegangan yang terbaik supaya tidak timbul masalah yang akan menyebabkan pecah-belah dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, dapat dilihat bagaimana rumah panjang di Betong dan kawasan lain di Sarawak yang berjaya melahirkan tokoh pemimpin yang baik kerana dasar ketua rumah panjang yang sering menyokong golongan berkuasa.

"Siapapun yang jadi kerajaan, mereka menyokong golongan yang berkuasa kerana jika (mereka) antigolongan berkuasa, akan mengundang padah kepada anak-anak buah mereka," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ngiling Tikai di Rumah Enteri Lengkoi di Samu, Spaoh dekat sini pada Ahad.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut mengingatkan rakyat agar tidak melayan sebarang titik perbezaan di antara mereka sebaliknya mempertahan titik persamaan demi menyelesaikan masalah.

"Kita wujudkan Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan kestabilan politik, mempertingkat pertumbuhan ekonomi, memberikan peluang pekerjaan dan kemakmuran kepada rakyat jelata terutama dari segi memberi peluang menambah pendapatan," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata, adalah penting untuk orang lama memahami aspirasi generasi baharu manakala generasi baharu harus terus menghormati orang lama.

Beliau berkata, jalinan itu menjadikan perasaan menyokong golongan berkuasa dapat diterjemah demi kepentingan rakyat namun pada masa sama, tidak mustahil ia akan diganggu-gugat oleh unsur luar mahupun dalaman.

"Membina itu adalah sukar tetapi biarpun sukar, insya-Allah ia akan lebih mudah apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan segulai sejalai," katanya yang menyifatkan hubungan Sarawak dan Persekutuan sebagai indah sekali gus memudahkan pelaksanaan projek berkepentingan rakyat.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluluskan pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Betong selain peruntukan sebanyak RM1.5 juta dan RM750,000 masing-masing untuk kerja baik pulih serta pendawaian semula Rumah Enteri Lengkoi. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!