Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini."

Demikian kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih Kemaman pada Ahad.

Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.

Mengulas lanjut, dia memberitahu mengetahui kejadian tersebut setelah tular di media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.

"Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.

"Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.

"Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami," ujarnya.

Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.

"Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).

"Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat," luahnya.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, penduduk di Kampung Laut, Pasir Gajah, di Kemaman dikejutkan dengan penemuan mayat yang hanyut di sungai di kampung berkenaan.

Setakat ini lapan lagi mangsa dikhuatiri masih hilang dalam tragedi kepala air di Kampung Air Putih, di daerah berkenaan pada Ahad.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dan wanita ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, sementara lapan lagi dikhuatiri masih hilang.

Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada jam 12.45 tengah hari pada Ahad.

Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Azizah dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

ARTIKEL BERKAITAN Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!