Gaji RM1,500 dah ditetapkan, kualiti macam mana?

Gaji yang dapat biarlah setimpal dengan kualiti yang diberikan. - Gambar hiasan
Gaji yang dapat biarlah setimpal dengan kualiti yang diberikan. - Gambar hiasan
A
A
A

BERMULA pada Sabtu lalu, kesemua pekerja di setiap sektor akan menerima gaji minimum RM1,500 tanpa mengira jumlah pekerja.

Penetapan ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Masnor berkata, lebihan gaji RM300 akan memberi kelegaan dan memberi kualiti hidup yang baik kepada pekerja.

Dengan ini juga sekurang-kurangnya dapat memastikan pendapatan pekerja meningkat tanpa melalui kerenah dan pelbagai alasan sesetengah syarikat.

Suara Sinar menyambut baik usaha ke arah kesejahteraan dan kestabilan hidup pekerja. Mudah-mudahan kebaikan ini dapat dibalas dengan kebaikan juga.

Maksudnya gaji yang dapat biarlah setimpal dengan kualiti yang diberikan.

Hal ini kerana dilihat pada kerenah segelintir pekerja pada hari ini terutama golongan muda atau diistilahkan sebagai BBNU (Budak Baru Nak Up), mereka seperti tidak cukup ‘masak’ untuk bekerja atau dalam bahasa mudah, kualiti ditahap rendah ke sederhana.

Ya, inilah yang membimbangkan. Rata-rata pihak pengurusan syarikat turut berpendapat yang sama.

Golongan muda pada masa kini seolah-olah belum bersedia ke alam pekerjaan. Antara faktor yang dikatakan menjadi punca adalah kerana mereka tamat belajar pada zaman pandemik.

Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa pada ketika itu, pembelajaran secara online, begitu juga dengan latihan praktikal. Maka, mereka tidak betul-betul belajar terutama pada pekerjaan yang memerlukan latihan amali berterusan.

Akhirnya apa yang terjadi adalah, apabila diterima masuk bekerja, golongan ini seakan terkejut dengan layanan yang diterima.

Mudah merajuk, cepat menangis, tidak boleh terima teguran, disiplin ‘ke laut’, dan paling menyedihkan adalah kualiti di tahap tidak memuaskan.

Oleh itu, ketua jabatan pula yang terpaksa menjadi pensyarah secara tidak langsung. Mengajar perkara-perkara yang mereka tidak belajar. Bagi yang mudah faham dan mahu belajar, bonus bagi syarikat tersebut.

Namun malangnya jika mendapat pekerja yang keputusan peperiksaannya cemerlang, personaliti meyakinkan namun apabila bab kerja, jauh daripada yang diharapkan.

Justeru, kepada mereka yang belum bersedia untuk ke dunia pekerjaan, dinasihatkan untuk terus sambung belajar lagi dan lagi sehingga penuh ilmu di dada.

Jadilah pekerja yang membangun bersama-sama syarikat, bukannya pekerja yang hanya menjadi beban kepada syarikat. Anda yang mana?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!