Dua agensi KDN disiasat - Perdana Menteri

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang disiasat berhubung dengan dakwaan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua agensi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, sewaktu lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) pada Ahad mendapati masih ada kelompok kecil pegawai imigresen yang terbiasa dengan amalan dan sistem lama.

"Saya pergi dan merumuskan untuk mempertahankan integriti imigresen serta masih menekankan supaya tindakan segera dan keras diambil terhadap beberapa kelompok kecil yang selesa dengan cara lama," katanya menerusi ucapan semasa Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, situasi sama berlaku di JPN apabila terdapat segelintir pegawai yang meminta bayaran untuk mengeluarkan sijil kewarganegaraan.

"Semalam saya terima maklumat JPN disiasat.

"Kita memudahkan kepada orang yang layak mendapat kewarganegaraan dan sebagainya.

"Untuk mendapatkan sijil itu, lagi dikenakan bayaran," katanya.

Anwar berkata, meskipun kelompok itu kecil namun tindakan segera dan tegas perlu diambil kerana ia merosakkan imej jabatan, penjawat awam dan pentadbiran.

"Kalau kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

"Harus ada tindakan tegas dan keras, kalau tidak, ia akan merosakkan imej pentadbiran yang dikatakan mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan," katanya.

Dalam pada itu, Anwar kesal apabila hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Terminal 1 yang berfungsi.

Ujarnya, masalah itu berlarutan bertahun lamanya dan tidak diatasi.

"Kebetulan saya Menteri Kewangan dan Kastam di bawah tanggungjawab saya tetapi tak akan hendak tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak?" soalnya.

Tegas beliau, kelemahan penyampaian maklumat di peringkat bawahan kepada pihak atasan juga perlu diperbaiki.

"Hal-hal sebegini adakah (perlu) pegawai di situ dipersalah? Mungkin dia lapor tetapi kelemahan ini perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang baik," katanya.

Jelas Anwar, kelulusan segera boleh dibuat sekiranya kos mesin pengimbas tersebut sekitar berapa juta ringgit.

"Saya percaya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semata-mata kerana saya memberi kelulusan segera.

Keadaan itu mendesak. Mesin pengimbas rosak. Bayangkan tujuh buah sudah lama rosak sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Terdahulu dalam lawatan mengejut beliau ke Terminal 1, Anwar merumuskan urusan dan pengoperasian imigresen dan kastam adalah terkawal serta menyatakan beberapa permasalahan yang ada akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan sewajarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA

Imigresen siasat dakwaan insiden kekecohan libat menteri

Ketua Pemuda UMNO gesa PM pecat menteri buat kecoh di KLIA

Siasat dalang sebar video, berita tidak benar - King Sing

MyBHA, MATA sokong tindakan King Sing dengar keluhan pelancong

Budaya rasuah di KLIA: SPRM siasat dakwaan King Sing

Ahli perniagaan lapor polis kes kekecohan libat menteri di KLIA

Lawatan mengejut di KLIA, PM jamin siasatan rapi dilakukan

Belum terima laporan menteri buat kecoh di KLIA - Anthony

Kerajaan, pihak berkuasa digesa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA - Cuepacs

'Saya sedang menunggu laporan penuh' - Saifuddin Nasution

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!