Polis kesan penunggang lawan arus di lebuh raya

Tindakan seorang penunggang motosikal yang dirakam menunggang kenderaan melawan arus ketika siaran langsung Facebook Sinar Harian pada Ahad.
Tindakan seorang penunggang motosikal yang dirakam menunggang kenderaan melawan arus ketika siaran langsung Facebook Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Pihak polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan seorang penunggang motosikal yang dirakam menunggang kenderaan melawan arus ketika siaran langsung Facebook Sinar Harian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian tersebut dirakam sekitar jam 11 hingga 11.15 pagi ketika siaran langsung Facebook Sinar Harian.

Menurutnya, kertas siasatan tersebut dibuka di bawah Seksyen 42 (1) Kanun Keseksaan iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

"Pihak polis memandang serius mengenai kejadian ini kerana ia menunjukkan masih terdapat pengguna jalan raya melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri mahu pun pengguna lain.

"Kita sedang mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan terbabit dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Yahaya, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan sebuah motosikal dirakam bergerak melawan arus ketika laporan siaran langsung Facebook Sinar Harian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara di sini pada Ahad.

Kenderaan terbabit ditunggang seorang lelaki dari arah susur keluar Plaza Tol Ipoh Utara menuju masuk ke lebuh raya berkenaan.

Tindakan beberapa kenderaan membunyikan hon menegur perbuatan lelaki terbabit juga tidak diendahkan, bagaimanapun tiada sebarangan kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku susulan tindakan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!