Tragedi kepala air: Operasi diperluas ke tiga zon babit 32 km

Hanyan ketika memberi penerangan ringkas berhubung gerak kerja operasi dan menyelamat mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Isnin.
Hanyan ketika memberi penerangan ringkas berhubung gerak kerja operasi dan menyelamat mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini diperluaskan ke tiga zon melibatkan pencarian radius seluas 32 kilometer (KM) persegi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Hanyan Ramlan berkata, operasi itu diteruskan pada jam 9 pagi melibatkan 163 anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta serta dibantu dua unit anjing pengesan K9 JBPM.

"Pada pagi ini kita pecah kepada tiga zon iaitu zon pertama dari tempat kejadian sejauh 8 KM manakala zon kedua melibatkan 15 KM dari Balai Air Putih menghala hingga empangan Sungai Pinang.

"Bakinya 15 KM lagi melibatkan zon ketiga dari Sungai Pinang menghala ke Muara Sungai Chukai sebab arus deras masa kejadian. Malam tadi pun berlaku hujan lebat maka kita percaya arus pun masih deras sekarang dan masih meningkat.

"Jadi waktu operasi ketiga-tiga zon ini bergantung pada nasihat bomba sama ada selamat untuk lakukan penyelamatan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pada Isnin.

Pada Ahad, seorang lelaki dan wanita ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih dekat sini, sementara lapan lagi dikhuatiri masih hilang.

Identiti lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air tersebut sudah dikenal pasti.

Hanyan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang petunjuk, namun sekiranya penduduk di kawasan berhampiran mempunyai maklumat berhubung bukti atau petunjuk melibatkan kejadian berkenaan diharap segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Saya minta maklumat penduduk sekitar bermula dari Sungai Air Putih hingga ke Chukai. Apa-apa sahaja maklumat nampak objek atau bau, boleh maklum (lapor) kepada Balai Polis Air Putih atau datang terus ke sini untuk salur maklumat.

"Pencarian kita ini jauh kerana mayat kita jumpa sejauh 25 KM di mana dalam tempoh 12 jam sahaja telah pergi kepada radius 25 KM. Sebab itu jarak kita luas namun kita akan usaha (mencari dan menyelamat)," ujarnya

Hassan (dua kanan) mengakui banyak elemen perlu dilihat secara teliti untuk memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
Hassan (dua kanan) mengakui banyak elemen perlu dilihat secara teliti untuk memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan 'As'ari Omar berkata, banyak elemen perlu dilihat secara teliti untuk memastikan operasi berkenaan berjalan lancar.

Ujarnya, fokus operasi pada hari ini lebih tertumpu kepada sektor pertama melibatkan pasukan dari PDRM, JBPM dan PGA.

"Pertama nak tengok risiko di radius pencarian kalau lihat aliran air pagi ini berlaku hujan selain arus sungai agak deras. Jadi paling penting keselamatan pasukan penyelamat berkaitan akses ke lokasi.

"Selain itu, sebenarnya ada strategi di mana kita menempatkan satu pasukan pada jarak setiap lebih kurang 5 KM hingga 7 KM untuk buat pencarian di kawasan sekitar," jelasnya.

Mengulas mengenai pecahan kekuatan sektor, beliau berkata, sektor pertama melibatkan hingga 8 KM dari tempat kejadian dengan menempatkan anggota terlibat di kawasan berkenaan.

"Kita rasa mungkin di situ sebab ada tanda-tanda mangsa pertama kita jumpa 24 KM dari tempat kejadian. Ini bermakna tak jauh dari Muara Kemaman manakala mangsa kedua jumpa 2KM dari tempat kejadian dan ada kemungkinan (jumpa) sebab mayat kedua dijumpai disangkut pada pokok.

"Jadi ada kemungkinan mangsa-mangsa lain pun kaedahnya sama seperti itu dan perkara tersebut adalah petunjuk pada kita," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!