Wabak denggi: Perak tak guna nyamuk Wolbachia
IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak akan menggunakan nyamuk Aedes berbakteria Wolbachia bagi mengawal wabak denggi di negara ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, jumlah kes denggi di negeri ini terkawal dan mencatatkan penurunan bagi minggu epid 26/2023 iaitu 42 kes berbanding 50 kes bagi minggu epid 25/2023.
Menurutnya, sehingga 1 Julai, terdapat 10 lokaliti wabak aktif dikesan iaitu sembilan daripadanya wabak terkawal di daerah Kinta manakala satu lokaliti diklasifikasikan sebagai wabak tidak terkawal di Kuala Kangsar.
"Cadangan itu (menggunakan nyamuk Wolbachia) ada tetapi nampaknya disebabkan kes berkurangan dan kos nyamuk itu juga tinggi, jadi kita rasa di Perak tak perlu buat masa ini.
"Tetapi kalau perlu KKM (Kementerian Kesihatan) sedia hantar ke sini. Kita ada cukup nyamuk dan mereka boleh hantar. Saya rasa mereka gunakan itu di Johor bukan di Perak, kita terkawal," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan memaklumkan jumlah purata harian kes jangkitan Covid-19 di negeri ini mencatatkan penurunan 58 peratus bagi tempoh 25 Jun hingga 1 Julai iaitu sebanyak sembilan kes sehari berbanding minggu sebelumnya iaitu 24 kes sehari.
Menurutnya, berdasarkan data KKMNOW, sebanyak 323 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 11 hingga 24 Jun 2023 dengan 74 daripadanya dimasukkan ke wad di hospital-hospital di negeri ini.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga hanya empat pesakit menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lima kematian dicatat dalam tempoh sama.
"Kita menjangkakan kes jangkitan mungkin berlaku penambahan susulan orang ramai sudah kembali dari cuti Hari Raya Aidiladha. Ini perkara biasa yang terjadi apabila wabak dibawa masuk dari luar.
"Apa yang penting, kita nasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan yang dikemukakan seperti amalkan 3W, elakkan 3S serta pemakaian pelitup muka bagi mereka yang berisiko serta positif Covid-19," katanya.
Sivanesan turut menasihati orang ramai khususnya mereka yang positif Covid-19 agar segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut jika berlaku kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!