Diskaun saman tidak akan diberikan - Shuhaily
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Anda tidak patuh peraturan jalan raya, anda akan disaman dan tiada pengurangan atau diskaun yang akan diberikan".
Demikian tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung penguatkuasaan secara intensif Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan sepanjang bulan ini.
Beliau berkata, operasi meningkatkan kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya itu diadakan di 16 lokasi utama di seluruh ibu kota pada sepanjang hari termasuk pada waktu puncak.
"Apa sahaja kesalahan dilakukan, anda sebagai pengguna jalan raya akan disaman.
"Selagi mana saya bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada diskaun diberikan.
"Jadi kita meminta bantuan polis untuk mengesannya di rumah," katanya ketika ditemui selepas Op Khas Motosikal Sempena Hari Raya Aidiladha di Jalan Pahang,dekat sini di sini malam Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengikuti Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang bermula hari ini sehingga 31 Julai.
Antara 16 lokasi yang menjadi tumpuan adalah persimpangan Jalan Tun Razak atau Jalan Ampang, persimpangan Jalan Tun Razak atau Jalan Semarak, persimpangan Jalan Ampang atau Yap Kwan Seng, persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan Tun Perak serta persimpangan Jalan Sultan Ismail.
Mengulas lanjut, Shuhaily berkata, pelaksanaan operasi tersebut adalah bertujuan memartabatkan undang-undang jalan raya supaya dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat.
Jelas beliau, masih ramai pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang sedia ada terutama pematuhan lampu isyarat dan berhenti di garisan kuning.
Tegas beliau, budaya negatif masyarakat di jalan raya perlu diubah supaya keselamatan orang ramai dapat dipertingkatkan.
Ditanya mengenai penguatkuasaan pada waktu puncak, Shuhaily berkata, tindakan undang-undang perlu dilaksanakan setiap masa termasuk waktu puncak pada awal pagi.
Ini kerana kata beliau, kesalahan kerap dilakukan pada waktu puncak kerana pengguna jalan raya mengejar masa.
"Saya difahamkan, ia pertama kali operasi seumpama ini dilakukan pada waktu puncak di ibu kota.
"Bagi saya, waktu puncak atau bukan, kesalahan tetap satu kesalahan.
"Kita sendiri tidak mahu menyusahkan pengguna jalan raya, tetapi inilah pengorbanan yang kita perlu sama-sama lakukan demi memartabatkan undang-undang," ujarnya.
Bagi melancarkan lalu lintas semasa operasi dilakukan, beliau berkata, dua pasukan polis trafik dikerahkan bertugas iaitu pasukan operasi dan pasukan mengawal lalu lintas.
Sementara itu katanya, operasi memburu pesalah jalan raya melibatkan warga asing turut dijalankan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti.
"Mereka warga asing yang datang ke negara kita, mereka perlu patuh dan hormat undang-undang sedia ada," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!