Selangor sedia mesin layan diri tuala wanita di 5 sekolah
SHAH ALAM - Kerajaan negeri memulakan projek membasmi kemiskinan haid melalui penyediaan mesin layan diri tuala wanita di lima buah sekolah perintis di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi projek fasa pertama inisiatif kemiskinan haid membabitkan pelajar kurang berkemampuan.
"Kerajaan negeri bakal memulakan projek membasmi kemiskinan haid melalui penyediaan mesin layan diri tuala wanita di lima sekolah perintis bermula Jun lalu.
"Peruntukan berjumlah RM100,000 ini adalah projek fasa pertama inisiatif kemiskinan haid," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin.
Menteri Besar menambah, projek membasmi kemiskinan haid itu dapat memberi manfaat kepada golongan pelajar kurang berkemampuan di negeri berkenaan.
"Projek ini memberi manfaat kepada 100 sehingga 200 pelajar kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan tuala wanita secara percuma," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!