Mourinho tawar peluang kedua buat Greenwood

Greenwood - Foto Agensi
Greenwood - Foto Agensi
A
A
A

MASA depan pemain kontroversi, Mason Greenwood bersinar semula apabila ditawarkan untuk kembali ke arena bola sepak oleh bekas pengendalinya, Jose Mourinho di Roma.

Mourinho menghubungi bintang Manchester United yang bermasalah itu untuk menyertainya di kelab Serie A tersebut secara pinjaman.

Greenwood ketika ini dalam tempoh penggantungan dengan United masih belum membuat keputusan terhadap siasatan ke atasnya selepas ditangkap pada Januari 2022.

Pemain berusia 21 tahun itu didakwa atas tuduhan cubaan merogol, serangan dan perlakuan ganas.

Bagaimanapun dakwaan ke atasnya digugurkan pada Februari lalu tetapi kelab memutuskan untuk meneruskan siasatan.

Mourinho, bekas pengendalinya di United, menawarkan talian hayat buat Greenwood jika kelab Inggeris itu mahu melepaskannya secara pinjaman atau membatalkan kontraknya.

Menurut satu sumber, Mourinho ada menghubungi bapa pemain itu selain turut berbual dengan Greenwood.

“Dia (Mourinho) memberitahunya, cara terbaik untuk keluar daripada masalah ini adalah dengan mula bermain bola sepak - lambat laun semua masalah itu akan berlalu.

“Mason (Greenwood) lega dihubungi Jose (Mourinho) dan ia membangkitkan semangatnya. Dia mahu kembali bermain dan sedang menanti keputusan United,” lapor satu sumber.

Greenwood baru-baru ini dilaporkan berlatih bersendirian sebagai persiapannya untuk kembali beraksi.

Bagaimanapun penyerang England itu melihat sukar buatnya untuk memulakan kembali kariernya di United, biarpun mendapat sokongan pengendali baharu, Erik ten Hag serta rakan sepasukan.

Kelab Itali lain seperti Juventus, Inter Milan dan AC Milan turut dikaitkan dengan Greenwood.

Bagaimanapun Roma mempunyai kelebihan berdasarkan hubungan baik antara Mourinho dan Greenwood.

Pada tahun 2018, Mourinho menyenaraikan Greenwood yang baru berusia 16 tahun ketika itu untuk menyertai Red Devils dalam jelajah pramusim ke Amerika Syarikat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!