PRN: Jumlah pengundi DUN Paya Jaras naik 23,000 orang
SUNGAI BULOH - Jumlah pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras meningkat kepada 73,000 orang berbanding 50,000 pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Penyandangnya, Mohd Khairuddin Othman berkata, peningkatan sehingga 23,000 pengundi itu susulan daftar pemilih yang dilakukan secara automatik tahun lalu.
Menurutnya, hampir 40 peratus pengundi DUN Paya Jaras terdiri mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun.
"Daftar pemilih secara automatik ini menyebabkan peningkatan pengundi yang amat signifikan di DUN Paya Jaras, namun berdasarkan trend semasa, kita yakin dapat mempertahankan negeri Selangor, termasuk DUN Paya Jaras.
"Jentera pilihan raya daripada PH dan BN telah digerakkan untuk mempertahankan penguasaan pentadbiran di Selangor," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, pertambahan pengundi muda adalah perkara biasa yang bukan hanya berlaku di Paya Jaras sebaliknya di semua kawasan
"Menjadi cabaran kita adalah sejauh mana mereka dapat maklumat yang tepat dan tidak terpesong dengan dakyah perkauman yang melampau.
"Bagaimanapun, PH optimis sokongan pengundi di Selangor berdasarkan rekod baik kerajaan negeri dan hubungan baik kita dengan rakyat," katanya.
Ditanya sama ada bakal mempertahankan kerusi tersebut, beliau sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan nasibnya sama ada kekal bertanding di kerusi berkenaan atau sebaliknya.
"Setakat ini rundingan agihan kerusi antara PH dan BN telah diselesaikan, namun bagi calon belum diketahui lagi.
"Untuk semua tempat (DUN), tidak ada perbincangan tentang calon setakat ini," katanya.
Khairuddin merupakan Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor dan telah menyandang kerusi DUN Paya Jaras selama dua penggal berturut-turut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!