Polis belum terima laporan plat kereta mewah QPA1
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima sebarang laporan berhubung nombor plat fancy ‘QPA1’ yang tular baru-baru ini membabitkan kereta mewah McLaren.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, nombor pendaftaran QPA1 itu sememangnya wujud dan diguna pakai oleh sebuah kereta mewah jenis Mercedes.
Malah kata beliau, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah memohon bantuan polis Kuala Lumpur untuk menyelesaikan isu tersebut, setelah nombor pendaftaran itu digunakan secara fancy iaitu sebagai OPA1 dan menjadi tular kerana dimuat naik oleh suami kepada pelakon Fatin Afeefa.
"Setakat ini, polis Kuala Lumpur masih belum menerima sebarang laporan berhubung kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tersebut.
"Sekiranya kami mendapat laporan, kita akan melakukan siasatan jika terdapat kesalahan.
"Tetapi dalam masa sama, polis Kuala Lumpur ada menerima permohonan bantuan daripada pihak JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membuka First Information Report (FIR) berhubung isu ini," katanya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shuhaily berkata, tanpa sebarang laporan atau permohonan rasmi siasatan, pihaknya tidak boleh membuka siasatan.
Jelas beliau, sekiranya ada laporan dibuat terhadap nombor pendaftaran tersebut, pihaknya akan melakukan siasatan dengan mengambil keterangan daripada pihak terlibat.
"Siasatan akan dibuka bagi mendapatkan bukti jika berlaku sebarang kesalahan dilakukan termasuk sekiranya terdapat pemalsuan dokumen atau sebagainya.
"Jika ada laporan polis, maka kita (polis) akan mengarahkan pihak terlibat untuk membuat keterangan percakapan.
"Untuk FIR, sesiapa sahaja boleh membuat laporan kepada pihak polis," ujarnya.
Menurutnya, pihak JPJ tidak mempunyai kuasa melakukan penyiasatan berhubung perkara tersebut dan polis juga akan menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan yang dibuat.
Terdahulu suami kepada pelakon Fatin Afeefa, Aliff Awang atau mesra sebagai Opai menyatakan dia masih tidak menerima sebarang panggilan atau surat daripada JPJ seperti yang didakwa sebelum ini.
Opai sebelum ini tular di media sosial apabila bergambar dengan sebuah kereta mewah dengan memaparkan plat kenderaan OPA1.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!