'Pegawai atasan kena turun padang baiki masalah, bukan cari salah'

Bernama
Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pegawai-pegawai atasan perlu turun padang untuk melihat sendiri permasalahan yang berlaku dalam kalangan penjawat awam, termasuk pihak berkuasa.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan bertujuan mencari salah atau mengecam mana-mana pihak tetapi sebaliknya bagi membolehkan satu-satu keadaan atau masalah diperbaiki.

"Sebab itu, kadang-kadang kita di atas turun dan terjun ke bawah untuk melihat sendiri. Tidak boleh buat andaian bahawa semuanya baik.

"Tetapi, ia mesti bertujuan untuk perbaiki, bukan sekadar untuk mencari salah atau mengecam, apa lagi memberi gambaran umum begitu (persepsi buruk)," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai.

Selain menyentuh mengenai dakwaan isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Anwar turut memberi contoh isu kerosakan alat pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), yang perlu diselesaikan segera.

Tidak mahu menyalahkan jabatan itu, Perdana Menteri berkata, enam daripada tujuh alat pengimbas agensi berkenaan tidak berfungsi sejak tahun lalu dan kelemahan tersebut perlu diperbaiki.

"Saya kebetulan Menteri Kewangan. Jabatan Kastam di bawah tanggungjawab saya. Tetapi, takkanlah nak tunggu menteri turun, baru nak tahu ia rosak. Ini adalah kelemahan dari segi maklumat.

"Dan ini, kalau belanja sekitar beberapa juta, kita boleh luluskan segera. Saya percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak akan siasat semata-mata kerana saya luluskan dengan segera, kerana keadaan itu mendesak," ujarnya lagi.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada majlis sama mengakui wujud segelintir penguasa Imigresen di KLIA yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan keras dalam menangani amalan tersebut agar ia tidak menjejaskan kerjaya, imej penjawat awam serta negara secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan turut dijalankan melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung pengeluaran sijil status kelayakan warganegara. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN:Dua agensi KDN disiasat - Perdana Menteri

Lawatan mengejut di KLIA, PM jamin siasatan rapi dilakukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!