RM11.5 juta naik taraf sistem saliran di Kelantan
KOTA BHARU - Empat projek menaik taraf sistem saliran melibatkan kos berjumlah RM11.5 juta akan dilaksanakan di Kelantan bermula pertengahan Julai ini.
Projek-projek tersebut melibatkan kawasan di Baruh Kadok ke Pasar Batu 8, Kampung Kota, kawasan belakang Istana negeri Kubang Kerian dan Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perlaksanaan itu bertujuan mengatasi masalah banjir kilat yang dihadapi sekitar 7,300 penduduk di kawasan-kawasan itu saban tahun.
“Projek-projek berimpak tinggi ini akan dilaksanakan segera bagi melindungi penduduk setiap kali musim tengkujuh dan hujung hujan lebat berikutan saliran sedia ada tidak mampu menyelesaikan masalah.
“Skop melibatkan kerja-kerja antaranya menaik taraf saliran konkrit, membaik pulih jalan dan penutup longkang jalan yang dijangka siap pada Mei tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Projek Membina dan Menaik Taraf Sistem Saliran di negeri Kelantan di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini, pada Isnin.
Menurut Nik Nazmi, masalah banjir di Baruh Kadok berlaku akibat mendapan dan saliran di tanah sedia ada di lot persendirian yang dikambus menyebabkan air bertakung dari kawasan seluas 12 hektar sehingga menyebabkan berlakunya banjir di kawasan tersebut.
“Keadaan juga menjejaskan aliran trafik di laluan utama iaitu Jalan Kota Bharu-Kuala Krai.
“Jumlah penduduk terkesan pula dianggarkan 500 penduduk melibatkan 100 rumah,” ujar beliau.
Katanya, perkara berkaitan perancangan saliran akan terus dibangkitkan dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri bagi memastikan tindakan mencegah banjir dapat dilakukan secara proaktif.
“Perkara ini juga melibatkan pihak berkuasa tempatan dan penguatkuasaan di bawah negeri.
“Perkara amat penting supaya pencegahan banjir perlu berlaku secara proaktif dan bukan reaktif hingga menyebabkan kos lebih mahal selain penduduk terpaksa menanggung kerugian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!