Op Lancar: 7,644 kemalangan direkod seluruh negara
KUALA LUMPUR - Sebanyak 7,644 kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang lima hari pelaksanaan Op Lancar di seluruh negara sempena Hari Raya Aidiladha.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, jumlah itu dicatatkan bermula 28 Jun hingga 2 Julai.
Menurutnya, daripada keseluruhan kes yang direkodkan, sebanyak 79 kemalangan maut dicatatkan membabitkan 85 kematian.
"Kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal paling tinggi iaitu 57 orang, pemandu serta penumpang kereta (19), pemandu pacuan empat roda (2) dan penumpang kenderaan pelbagai guna (1).
"Selebihnya ialah pejalan kaki (3), penumpang van (1) dan penunggang basikal (2)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada 26 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Op Lancar selama lima hari mula dilaksanakan bermula 28 Jun.
Op Lancar berperanan bagi memantau dan mengambil tindakan penyuraian lalu lintas di semua persimpangan lampu isyarat atau persimpangan yang dijangkakan akan berlaku kesesakan yang melampau.
Sebelum itu, Mat Kasim turut memberitahu Sinar Harian bahawa JSPT telah menubuhkan Team Black Mamba yang berperanan untuk melancarkan aliran trafik di beberapa laluan utama.
Penubuhan pasukan itu rentetan sebagai usaha pihaknya dalam mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan Aidiladha ini.
Polis turut memberi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa bekerjasama, berhemah, berhati-hati dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan bagi mengelak kemalangan berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!