Atlet olahraga 'kantoi' doping diberi tempoh hingga 11 Julai
ATLET olahraga yang gagal ujian doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Februari lepas diberi tempoh hingga 11 Julai ini untuk menjawab surat tunjuk sebab daripada Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
Pengarah ADAMAS, Azura Abidin berkata, sekiranya atlet itu tidak mengemukakan surat tersebut pada tarikh ditetapkan, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan bukti sedia ada sebelum mengadakan sesi pendengaran kes tersebut.
“Bagi tempoh sekarang, atlet berkenaan perlu membalas surat tunjuk sebab dan mencabar ujian sampel B. Kita tunggu hingga 11 Julai hingga jam 5 petang.
“Kalau atlet terbabit beri surat tunjuk sebab dan ujian sampel B barulah kita akan siasat (berdasarkan maklum balas atlet),” katanya selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama ADAMAS, Pegawai Kawalan Doping (DCO) dan Pendidik Anti Doping di Putrajaya pada Isnin.
Majlis disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Jun lepas, ADAMAS mengumumkan satu insiden doping melibatkan seorang atlet olahraga pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tanpa mendedahkan butiran atlet, ADAMAS mengesahkan bahawa keputusan doping itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang atau adverse analytical finding (AAF) bagi bahan sibutramine.
Berikutan itu, atlet tersebut digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.
Dalam pada itu, Azura berkata, atlet yang akan menggalas cabaran negara ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China perlu menjalani kursus dalam talian bersama Anti Doping Education and Learning (ADEL) oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA), sebagai syarat wajib yang ditetapkan Majlis Olimpik Asia untuk menyertai temasya berkenaan.
Sukan Asia 2022 akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!