'MCA Selangor belum tahu dapat berapa kerusi'

Chok Sin
Chok Sin
A
A
A

SHAH ALAM - MCA Selangor mengesahkan memohon lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai kerusi tradisi parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Ng Chok Sin bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan mengenai jumlah kerusi akan diagihkan kepada parti tersebut.

"Kita sudah melaluinya, bincang dan sudah memberikan senarai (kerusi) kepada pucuk pimpinan untuk bertanding pada PRN (Selangor).

"Tetapi sehingga hari ini kita (masih) tidak dimaklumkan kerusi mana yang akan diagihkan kepada kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau menambah, sebelum ini MCA Selangor memohon lima kerusi bagi DUN Selangor untuk bertanding pada PRN negeri berkenaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Sebelum ini sudah bagi (senarai) lebih kurang lima kerusi iaitu kerusi di kawasan tradisi yang ditandingi MCA termasuk (pernah) ditandingi pada pilihanraya lalu," katanya.

Katanya lagi, antaranya ialah kerusi DUN Sungai Pelek, Kuala Kubu Baru dan Rawang.

Pada 27 Jun lalu, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan MCA dan MIC akan diberi kerusi untuk bertanding di enam PRN tidak lama lagi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengagihan kerusi bagi komponen BN itu akan mengambil kira kesesuaian dan memiliki kadar boleh menang yang tinggi.

Ahmad Zahid turut berkata, jaminan yang diberikannya itu diharap dapat menghentikan segala desas desus kononnya parti komponen dalam gabungan itu dipinggirkan untuk bertanding pada PRN.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Portal Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pertukaran Memorandum Kerjasama di Putrajaya 27 Jun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!