Jangan mudah terpengaruh tawaran kerja luar negara
SUNGAI PETANI - Kerajaan mengingatkan agar rakyat di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja di luar negara sehingga menjadi mangsa buruh paksa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana kes sedemikian masih berlaku dan terbaharu membabitkan 127 warga Malaysia yang diselamatkan polis Filipina, Selasa lalu.
Menurutnya, kerajaan akan terus melaksanakan kempen kesedaran kepada rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran terbabit.
"Kita ingatkan supaya rakyat Malaysia tidak mudah terjebak dengan apa-apa bentuk tawaran yang dibuat melainkan harus dilakukan semakan.
"Manusia itu lumrah semakin diberi ingatan kadang-kadang ada juga yang masih lagi terlibat, jadi kalau itu berlaku, kita akan gunakan mekanisme (menyelamat) yang saya sebutkan tadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-51 Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Latihan Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah Rela Malaysia, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 127 daripada 134 mangsa yang diselamatkan polis Filipina dalam serbuan ke atas Philippine Offshore Gaming Operator (POGO), 27 Jun lalu dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar di Manila berjaya mengenal pasti 127 individu terbabit dan akan memberikan bantuan konsulat sewajarnya bagi menghantar pulang semua mereka dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!