Pengurusan kes rayuan Amelia Henderson 24 Julai
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, menetapkan 24 Julai ini untuk pengurusan kes berhubung rayuan pelakon, Amelia Henderson berhubung keputusan kes pelanggaran kontrak drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali', tahun lalu.
Peguam, Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia ketika dihubungi berkata, tarikh pengurusan baharu ditetapkan kerana alasan penghakiman masih belum siap.
“Prosiding seterusnya ditetapkan tiga minggu lagi,” katanya selepas prosiding pengurusan kes yang dibuat secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Rozana Husin.
Sementara itu, peguam, Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu ketika dihubungi turut mengesahkan perkara sama.
Pada 7 April lalu, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan pelakon, Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, berhubung isu pelanggaran kontrak.
Ia membabitkan bayaran pertama RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman plaintif).
Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.
Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A Aida Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.
Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama itu.
Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.
Bagaimanapun, saman melibatkan A Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!