Nilai semula keadaan pintu masuk, pengendalian pelancong - MATTA
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula prosedur pengendalian pengembara dengan status Notis Tolak Kemasukan (NTL) bagi membendung insiden kekasaran terhadap pelancong.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Ejen (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, pendekatan tersebut mampu menarik semula kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia sekali gus meningkatkan industri pelancongan.
“Pada masa yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menilai semula keadaan pintu masuk negara dan mengkaji prosedur pengendalian pelancong.
“Kerajaan perlu menaikkan semula imej Malaysia sebagai negara destinasi pelancongan selamat dan menarik dengan menghapuskan rasuah di semua peringkat lebih-lebih lagi di pintu masuk utama negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Khamis, tular laporan portal mendakwa kekecohan tercetus di KLIA apabila melibatkan Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang KLIA untuk 'menyelamatkan' seorang pelancong dari China.
Beliau mengakui kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.
Ujar Kok Liang, insiden tersebut bukan sahaja melibatkan pelancong dari China tetapi dari pelbagai negara dan MATTA telah beberapa kali menimbulkan kebimbangan kerana ia menghalang usaha pemasaran pelancongan negara.
Tambahnya, perkara utama yang perlu diketahui sama ada terdapat sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penganiayaan pelancong susulan insiden tersebut.
“Siasatan bebas dan telus perlu dilakukan secara menyeluruh susulan insiden yang melibatkan Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kami berharap pelbagai kementerian bekerjasama rapat dengan MOTAC untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara dan kami menjangkakan lebih banyak perubahan positif kepada industri dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tular menteri didakwa buat kecoh di KLIA
Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!