MTMM setuju STAR laksana, perluas projek Bitara Madani - PM

Anwar ketika mempengerusikan Majlis Tindakan Malaysia Madani pada Isnin. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar ketika mempengerusikan Majlis Tindakan Malaysia Madani pada Isnin. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) bersetuju agar Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) segera melaksana dan memperluaskan Projek Bitara Madani termasuk memberi fokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan serta masalah dihadapi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MTMM telah memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.

“Di bawah projek menaik taraf fasiliti, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023.

“Manakala bagi memperluas pelaksanaan Gerai Madani, kaedah penambahbaikan yang digunapakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu, ujar beliau, tindakan penambahbaikan itu akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat.

Menurutnya, semua projek di bawah Bitara Madani itu sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani serta menggunakan pendekatan ‘the whole of government’.

“(Pendekatan itu) Di mana ketua projek adalah terdiri daripada kalangan pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan berbeza dengan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.

“Ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek - projek Bitara Madani dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

“Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!