Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain

Sheikh Mohd Nasir. - Foto Agensi
Sheikh Mohd Nasir. - Foto Agensi
A
A
A

BADAN bebas, First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa Kelantan FC dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang akan dibuka pada Rabu.

Hukuman itu susulan kegagalan Kelantan FC menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan kepada pasukan itu pada 28 Jun dan 30 Jun lalu.

Ia adalah hukuman berasingan daripada sebarang tindakan yang boleh diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan aduan kes-kes lain.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, pihaknya memandang serius mengenai isu berkenaan dan tindakan terpaksa diambil selepas Kelantan FC gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh yang diberikan.

“FIB masih tidak menerima sebarang bukti bayaran ansuran KWSP (bayaran ansuran pertama) dan bukti bayaran gaji penuh pemain serta pegawai (April dan Mei 2023) sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan kepada Kelantan FC.

“Oleh kerana kegagalan Kelantan FC memberikan bukti bayaran tersebut, maka dengan ini hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua dijatuhkan dengan serta merta,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Hukuman sekatan perpindahan pemain ini akan ditarik semula sekiranya Kelantan FC berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan caruman KWSP, gaji pemain dan pegawai sebelum jendela kedua berakhir pada 1 Ogos depan.

Bagaimanapun tindakan untuk menarik semula sekatan itu juga perlu mengambil kira keputusan FAM dan FIFA berkenaan kes lain melibatkan Kelantan FC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!