Petisyen pilihan raya Parlimen Marang: Calon BN merayu ke Mahkamah Persekutuan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Calon Barisan Nasional, Jasmira Othman mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengekalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, antara peguam yang mewakili Jasmira memberitahu Bernama bahawa notis rayuan difailkan pada 28 Jun lepas.

Pada 27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Jasmira untuk mencabar kemenangan Abdul Hadi.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas, antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lepas, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Abdul Hadi kekal Ahli Parlimen Marang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!