Israel-Palestin di ambang perang?
RAMALLAH - Israel melancarkan operasi berskala besar dengan mengerahkan ratusan anggota tentera mereka ke utara Tebing Barat pada Isnin seakan-akan memberi bayangan wilayah itu kini berada di ambang peperangan.
Kempen ketenteraan terbesar dalam tempoh beberapa tahun yang dilancarkan di bawah kerajaan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu itu turut disertai kenderaan perisai, dron dan jentolak.
Penduduk Palestin bagaimanapun tidak hanya berdiam diri malah sekumpulan lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan ke arah tentera rejim Zionis ketika siren dibunyikan manakala beberapa individu lain melemparkan batu sebagai tanda protes.
"Kami mahu menggempur 'hab keganasan' berkenaan secara habis-habisan," kata Menteri Luar Israel, Eli Cohen merujuk kepada bandar Jenin.
Sejak kebelakangan ini, rejim Tel Aviv telah meningkatkan operasi mereka di utara Tebing Barat yang turut menempatkan kem pelarian Palestin dan kubu kuat Briged Jenin.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh terkorban di bawah operasi itu yang dijalankan kira-kira dua minggu selepas insiden serangan misil ke atas kem pelarian Jenin.
"Bandar ini terus dihujani serangan udara dan pencerobohan di darat. Beberapa kediaman dibom hingga mencetuskan kepulan asap tebal di udara," kata Pengarah Persatuan Palang Merah Palestin, Mahmoud al-Saadi.
Sementara itu, tentera Israel mengesahkan ia telah membedil pusat operasi bersama Briged Jenin selain lokasi pemerhati dan meninjau serta depot senjata dan markas persembunyian anggota penentang yang kononnya menyerang penduduk Yahudi sejak beberapa bulan lalu.
"Ia adalah operasi mengejut kerana kami menjejaki sasaran khusus. Kami turut merampas bekalan senjata dan kemudahan pembuatannya.
"Fokus utama adalah kem Jenin dan tiada garis masa spesifik untuk menamatkan kempen ketenteraan ini," kata jurucakap rejim Zionis, Richard Hecht sambil menambah operasi tersebut melibatkan kekuatan briged. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!