Ibu rayu sumbangan untuk bayi hidap kanser hati
SUBANG - [DIKEMASKINI] Seorang ibu mengharapkan bantuan sumbangan daripada orang ramai bagi membantu bayi perempuannya berusia dua tahun yang disahkan menghidap penyakit kanser hati tahap dua.
Fadlina Moctader, 38, berkata anaknya, Syarifah Hania Fatinah Wan Umar, 2, telah disahkan menghidap penyakit tersebut pada November tahun lalu selepas perut dan kakinya mula menunjukkan tanda-tanda bengkak secara tiba-tiba.
Selepas membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam, Fadlina terkejut apabila doktor memberitahu anak bongsunya itu menghidap penyakit kanser hati tahap empat.
"Saya memang terkejut sebab abang dan kakaknya yang berusia 8 dan 4 tahun tak pernah ada masalah kesihatan.
"Doktor juga memaklumkan anak saya perlu menjalani prosedur rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali susulan daripada penyakitnya itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Fadlina berkata, bayinya itu juga turut dirujuk ke Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani proses rawatan selanjutnya dengan doktor pakar.
Malah ibu kepada tiga cahaya mata ini memaklumkan bahawa Syarifah Hania juga baru menjalani pembedahan Mac lalu dengan membuang 80 peratus daripada hatinya yang rosak akibat diserang kanser berkenaan.
"Buat masa ini, keadaan anak saya masih dalam pemantauan doktor dan kami memerlukan banyak wang menampung keperluan hariannya selepas ini," katanya.
Dalam pada itu, Fadlina yang juga seorang suri rumah memaklumkan bantuan kewangan daripada orang ramai amat diharapkan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga.
Dia berkata, pendapatan suaminya, Wan Umar Wan Suib, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori juga tidak mampu menampung kos bil hospital, rawatan dan keperluan anaknya.
"Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan anggaran gajinya hanyalah sekitar RM2,000 sahaja sebulan. Banyak perbelanjaan perlu ditampung seperti lampin pakai buang anak, susu, kos pengangkutan dan sebagainya," katanya.
Tambah Fadlina, dia juga bersyukur menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM500 bermula Mac lalu.
"Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung oleh kami sekeluarga. Selain bantuan ini, adik saya juga turut membantu kami dengan menjual kek," katanya.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada Syarifah boleh menghubungi Fadlina di talian 0132876623 atau melalui akaun 162487062268
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!