'Jangan takutkan rakyat dengan sentimen pecah undi'
SHAH ALAM - Beberapa pihak diingatkan agar tidak menakutkan rakyat berhubung keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding secara solo pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dikatakan akan memecahkan undi.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pengundi di Malaysia ini bijak dan trendnya boleh dilihat pada pilihan raya yang lepas.
Menurutnya, meskipun terdapat beberapa blok gabungan parti, pengundi memilih ada sebabnya.
“Saya juga rasa tidak adillah kita menutup kegagalan dan ketidakcekapan dalam urus tadbir dengan menakutkan rakyat.
“Kalau saya kalah... blok itu yang akan menang,maka akan hancurlah negara, itu tidak betul.
“Realitinya dalam bab ini jika kita mentadbir dengan cekap, kita melaksanakan janji-janji reform akan dibawa tiada undi yang akan pecah,” katanya
Beliau berkata demikian pada program Sinar Live ‘Kuasa Ketiga atau Kacau Daun’ yang dihoskan oleh Haizir Othman yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, kalau tidak cekap, urus tadbir tidak baik, janji tidak ditunaikan akan jadi punca orang pilih parti baharu.
“Sebab itu dalam bab ini, kita perlu menerima landskap demokrasi negara yang dinamik dan penyertaan Muda ini, dapatlah kita suntik sedikit sebanyak politik baharu di Malaysia,” ujarnya.
Ahli Parlimen Muar itu turut mengakui bahawa pengundi di Malaysia tidak taksub dengan mana-mana parti.
“Kalau kita lihat pada pilihan raya lepas, ianya cepat berubah. PRN yang berlaku enam bulan sebelum PRU, dia mengundi parti A, lepas enam bulan terus undi parti B.
“Apa maksudnya? Pengundi ini cakna dan ikuti isu semasa walaupun mereka tidak komen mengenai isu politik setiap hari tapi dia ikut perkembangannya dan bila nak luahkan kemarahannya, dia akan luahkan atas kertas undi,” jelas Syed Saddiq.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!