Peniaga Bisikan Bayu tidak cukup duit pindah tapak baharu
PASIR PUTEH - Beberapa peniaga di Pantai Bisikan Bayu yang diarahkan mengosongkan tapak perniagaan mereka pada Isnin berharap pihak berkaitan dapat membantu mengatasi masalah berkenaan.
Ini berikutan, kesemua mereka berdepan masalah kewangan untuk mencari tapak perniagaan baharu sekali gus berharap pertemuan antara pemilik tanah dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dapat dilakukan bagi mencari penyelesaian kemelut berkenaan.
Salah seorang peniaga, Norhazri Muhammad Noor, 43, berkata, notis yang dikeluarkan oleh MDPP mengarahkan supaya mereka mengosongkan tapak niaga di pantai berkenaan pada Isnin.
“Kami perlu memindahkan barang dan mengosongkan kedai hari ini (Isnin). Kami amat berharap dapat bertemu pihak MDPP dan pemilik tanah untuk mencari jalan penyelesaian.
“Kami tidak mahu melanggar arahan itu, tetapi kami juga tidak ada wang bagi mulakan perniagaan di tempat baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.
Turut hadir, peguam bela, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad daripada Tetuan Aziz Derashid Rosdin and Co yang mewakili para peniaga.
Menurut Norhazri, kebanyakan peniaga tersebut terdiri daripada golongan ibu tunggal, anak yatim dan asnaf yang mencari pendapatan dengan menjual makanan seperti satar, jagung rebus serta barangan permainan seperti layang-layang.
Katanya, pemilik memaklumkan peniaga tidak mempunyai lesen sah sedangkan apabila mahu memohon lesen, pihak MDPP pula mahukan pengesahan sewaan tapak daripada pemilik.
“Peniaga sudah beberapa kali buat permohonan kepada pemilik yang turut berjanji meneruskan sewaan kepada kami selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kegusaran peniaga-peniaga itu apabila beberapa individu menampal notis arahan pengosongan kedai pada 20 Jun lalu.
Dalam pada itu, menurut Nik Nasrun, anak guamnya dan pemilik membuat perjanjian sewaan pada Mac 2021 hingga Disember 2021.
“Mereka dijanjikan menyambung sewaan itu namun diberi notis pengosongan pula,” katanya.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-undang syarikat yang berkaitan pula berkata, arahan pengosongan kedai dibuat kerana peniaga melanggar perjanjian.
Katanya, arahan tidak membabitkan 85 peniaga seperti didakwa sebaliknya hanya kepada beberapa peniaga termasuk Norhazri yang menyewa di lot berkeluasan 1,760 meter persegi di pantai itu.
“Penyewa menyewa di tapak seluas 1,100 meter persegi dengan kadar sewaan RM500 sebulan namun penyewa tidak menepati keluasan asal.
“Kami terpaksa naikkan sewaan kepada RM1,000 sebulan dengan keluasan 1,760 meter persegi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!