Misi wujudkan 1,000 hab pertanian diteruskan

Status yang dimuat naik Nur Ahmad Faiz di akaun Facebook Misi Rakyat.
Status yang dimuat naik Nur Ahmad Faiz di akaun Facebook Misi Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas Misi Rakyat yang bercita-cita untuk mewujudkan 1,000 hab pertanian bertekad mahu meneruskan misi itu menerusi prosedur dan kaedah yang betul menggunakan wang sendiri.

Pemilik akaun berkenaan, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, 32, mengakui dia tersilap langkah kerana telah mewujudkan perbalahan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, dia mahu memulakan semula usaha itu dengan cara yang betul dan menerima segala kritikan dengan hati terbuka.

“Saya minta maaf semua dan saya tak perlu maafkan sesiapa sebab tiada siapa yang salah kerana saya yang cetuskan semua ini dari awal.

“Niat saya menyatukan, tapi perbuatan saya memecah belahkan semua... Jadi sebelum semua ini parah, saya ‘restart’ semula tapi dengan cara saya, tiada lagi ‘content’ macam bagus,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Jelas Nur Ahmad Faiz, dia juga tidak mahu dikaitkan dengan apa juga perkara yang sensitif terutama melibatkan soal politik dan kerajaan.

“Saya tetap akan teruskan Misi Farms, tapi saya akan buka sendiri hub guna duit sendiri satu persatu untuk bantu saudara yang selama ini catu makanan.

“Tolong orang susah sahaja, hidup lebih tenang,” ujarnya,

Sebelum ini, Nur Ahmad Faiz bercita-cita untuk membina hab pertanian melalui ‘Misi Farms’ yang dikatakan boleh menurunkan harga barangan di pasaran sekali gus menghapuskan orang tengah.

Beliau menyasarkan kutipan berjumlah RM20 juta daripada orang ramai bagi menjayakan misi tersebut yang akan turut membuka pasaran baharu bagi memperkasakan petani, penternak dan nelayan.

Berdasarkan semakan di Facebook, Misi Farms mula mengutip sumbangan daripada orang awal bermula Jun lalu serentak dengan impian untuk mewujudkan matawang sendiri melalui Misi Coin.

BNM dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat meminta orang ramai memastikan kesahihan sebarang kempen pengumpulan dana sebelum mengambil bahagian.

Susulan itu, Misi Rakyat telah mengambil keputusan untuk memulangkan sepenuhnya wang sumbangan lebih RM400,000 kepada penyumbang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!