Dua beradik melecur dalam kebakaran

Dua rumah musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan dua lelaki melecur di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi pada Isnin.
Dua rumah musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan dua lelaki melecur di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Dua beradik melecur semasa cuba menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Bayu Damai, Pengerang dekat sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, kedua-dua mangsa merupakan lelaki berusia 59 dan 70 tahun.

"Semasa kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, dua beradik berkenaan berada dalam rumah dan sempat menyelamatkan diri apabila menyedari berlaku kebakaran.

"Mereka melecur di bahagian tangan dan badan ketika berlari keluar dari rumah sebelum pihak bomba tiba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota bomba dengan bantuan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk rawatan lanjut.

Terdahulu katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.06 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai 32 anggota dari BBP Punggai, BBP Penawar, BBP Sebana Cove dan BBP Sungai Rengit dengan dua jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu EMRS serta satu utiliti Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan dua rumah jenis struktur kekal dan musnah 90 peratus.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi ditamatkan pada jam 1.54 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!