KPT disyor wujudkan sekolah autisme

Dr Norsuhaily
Dr Norsuhaily
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disarankan supaya mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah pusat atau sekolah autisme di universiti yang mempunyai hospital pengajar.

Pakar Pendidikan dan Psikologi Kanak-Kanak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Norsuhaily Abu Bakar berkata, ia sebagai langkah untuk membantu golongan berkenaan mendapat pendidikan sempurna demi masa depan mereka.

Menurutnya, pemilihan hospital pengajar itu dilihat tepat dengan mengambil kira rantaian atau kemudahan yang boleh digunakan untuk membantu kelompok istimewa tersebut mendapat pendidikan sewajarnya.

“Sebagai contoh di UniSZA sendiri, kita mempunyai hospital pengajar, jadi masyarakat atau ibu bapa menghantar anak-anak bagi mendapatkan rawatan dan apabila diagnosis mempunyai ciri-ciri autisme, kanak-kanak tersebut akan terus dirujuk kepada pakar.

“Selepas dirujuk kepada pakar, kanak-kanak tersebut boleh menjalani rawatan atau terapi oleh pakar yang khusus mengenai penyakit autisme ini.

“Selanjutnya kanak-kanak istimewa ini akan turut diberi latihan kemahiran mengikut kemampuan mereka.

“Beginilah fungsi pusat atau sekolah autisme yang kita hasratkan, yang mana kanak-kanak ini tidak hanya diberikan rawatan atau terapi semata-mata tetapi turut diberi latihan kemahiran agar mereka dapat berdikari,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsuhaily berkata, pusat atau sekolah sedemikian telah lama diwujudkan di negara-negara maju termasuk Australia dan dilihat memberi kesan positif dalam membantu kanak-kanak autisme menikmati kehidupan seperti manusia normal yang lain.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) telah mewujudkan sekolah pendidikan khas untuk membantu kanak-kanak istimewa termasuk autisme mendapat pendidikan sewajarnya.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik sekiranya sekolah khusus untuk kanak-kanak autisme diwujudkan memandangkan mereka mempunyai fizikal normal serta gangguan spektrum autisme (ASD) juga mempunyai pelbagai kategori.

“Ada sesetengah kanak-kanak yang diagnosis mempunyai ciri-ciri atau tahap autisme pelbagai antaranya terkawal, sederhana dan membimbangkan. Jadi, sekiranya kelompok ini diletakkan bersama yang lain di sekolah pendidikan khas ia dibimbangkan tidak membantu,” katanya.

Sementara itu, Norsuhaily pada masa sama turut mengingatkan ibu bapa supaya segera membuat diagnosis sekiranya melihat anak-anak menunjukkan ciri-ciri autisme.

Katanya, rawatan dan terapi awal secara tidak langsung dapat mengurangkan ciri-ciri autisme daripada menjadi lebih teruk.

“Data menunjukkan bahawa anak-anak yang dihantar oleh ibu bapa mendapatkan rawatan awal menunjukkan perkembangan baik dan sememangnya tidak dinafikan gangguan autisme akan berlaku sepanjang hayat tetapi ciri-cirinya boleh dikurangkan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan ibu bapa agar membuang sikap malu untuk menghantar anak-anak autisme mendapatkan rawatan demi kebaikan masa depan mereka.

“Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak istimewa ini perlu sentiasa bersikap positif dan membuang sebarang stigma negatif mengenai autisme ini,” katanya.