37 tahun derita penyakit tiada penawar

Mohd Zulhilmi ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu.
Mohd Zulhilmi ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menderita sakit tanpa penawar selama 37 tahun, itu dugaan yang terpaksa ditempuhi Dr Mohd Zulhilmi Paiz Ismadi yang menghidap penyakit genetik, Hemofilia B sejak lahir.

Bercerita lanjut mengenai penyakitnya, pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu berkata, beliau pernah berdepan dengan detik cemas apabila hampir kehilangan nyawa akibat pendarahan dalaman di perut ketika menuntut di luar negara.

“Ketika itu tekanan darah saya memang sangat rendah, di tahap mengancam nyawa. Rakan-rakan serumah nampak saya pengsan dan mereka panggil ambulans.

“Keadaan saya ketika itu sangat lemah dan syukur alhamdulillah saya dapat diselamatkan selepas segera dibawa ke wad kecemasan hospital,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Beliau yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam Selangor ditempatkan di hospital selama dua minggu untuk rawatan.

“Doktor terpaksa cucuk empat jarum dan memasang empat pam lengan di kedua-dua tangan bagi memastikan tekanan darah kembali stabil,” katanya.

Mohd Zulhilmi berkata, beliau kerap mengalami beberapa komplikasi sejak zaman persekolahan seperti muntah darah, kencing berdarah, pengsan, pendarahan dalaman dan bengkak teruk di beberapa anggota badan seperti siku, lutut serta buku lali.

Mohd Zulhilmi ketika berada dalam wad kerana pengsan akibat pendarahan dalaman di perut secara mengejut di sebuah hospital di luar negara.
Mohd Zulhilmi ketika berada dalam wad kerana pengsan akibat pendarahan dalaman di perut secara mengejut di sebuah hospital di luar negara.

Menurutnya, kehidupan yang dilaluinya dahulu berbeza dengan orang lain dan beliau terpaksa mengorbankan waktu kanak-kanaknya akibat penyakit yang dideritainya itu.

“Saya selalu berada dalam dilema untuk bermain dan bersukan dengan rakan-rakan. Kita bukan tak nak berseronok tetapi kena cari jalan lain.

“Ibu bapa saya banyak berkorban kerana mereka perlu ulang-alik tolong saya. Adik-beradik saya pun banyak berkorban kerana ketika sakit, ibu bapa banyak tumpukan perhatian kepada saya,” katanya.

Jelasnya, penyakit hemofilia adalah gangguan perdarahan yang berpunca kurangnya protein faktor pembekuan darah dalam tubuh.

Katanya, ketika pesakit hemofilia mengalami luka, ia akan ambil masa yang sangat lama untuk sembuh.

Beliau turut berdepan dengan stigma negatif daripada beberapa pihak termasuk gurunya sendiri yang berpandangan bahawa golongan pesakit hemofilia sepertinya sukar untuk berjaya.

Bagaimanapun, dengan tekad dan berkat sokongan ibu bapa, rakan-rakan serta tenaga pengajar lain, Mohd Zulhilmi berjaya mengubah hidupnya sehingga berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari institusi pengajian tinggi luar negara pada usia 26 tahun.

Mohd Zulhilmi yang sudah berkhidmat sebagai pensyarah selama lebih tujuh tahun berkata, pencapaiannya itu membuktikan bahawa sesiapa pun mampu untuk berjaya melalui usaha berterusan dan semangat serta tekad yang kuat.