Mampukah Muda cabar 'politik tua'?
PALUAN gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri semakin rancak meskipun tarikh pengundian masih jadi tanda tanya. Di sesetengah tempat, perang bendera parti sudah bermula.
Rata-rata warganet di media sosial juga sudah disajikan dengan ‘persembahan permulaan’ yang menghangatkan lagi gelanggang pertandingan.
PRN kali ini menjadi penanda aras penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan (BN).
Pun begitu, medan pertempuran di enam negeri menjadi semakin menarik apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengisytiharkan bahawa mereka akan bertarung secara solo.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang media khas menerusi Facebook mengesahkan, kata sepakat tercapai selepas mendapatkan beberapa pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.
Adegan plot twist yang disajikan Muda di saat-saat akhir ini mengundang pelbagai respons, kritikan dan persepsi bukan hanya daripada warga maya, malah pemimpin-pemimpin parti lawan.
Pembawaan budaya politik baharu dan menolak ‘politik tua’ menjadi idealisme yang bakal diperjuangkan Muda dalam pertempuran di enam buah negeri ini.
Tegas Ahli Parlimen Muar itu, keputusan dibuat disebabkan keadaan dua blok politik utama Malaysia iaitu PH-BN dan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal merealisasikan hasrat serta aspirasi rakyat dan negara.
Tambahan sesetengah parti politik gemar mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama untuk menakutkan rakyat demi mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kedudukan mereka. Oleh itu, Muda memberi ‘amaran’ bahawa PRN yang akan datang merupakan satu wake-up call kepada negara.
Risiko berani mati Muda untuk berdiri di atas kaki sendiri menjelang PRN yang bakal tiba bagaimanapun memperlihatkan parti berkenaan seakan-akan tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
‘Plot twist’ yang dilakukan Muda mula dipersoalkan oleh netizen dan beranggapan parti yang pernah digelar ‘third force’ ini tidak ada prinsip dan pendirian.
Malah, parti Muda yang cuba berdikari pada PRN kali ini dikatakan proksi kepada bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menguburkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kejutan Muda kali ini yang mahu memperjuangkan masa depan rakyat dan negara dipandang rendah segelintir netizen yang yakin parti itu akan ‘bungkus’ seperti Dr Mahathir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila bertanding atas parti sendiri, malah kehilangan wang depositnya.
Meskipun Muda masih belum memuktamadkan calon dan jumlah kerusi yang bakal bertanding, namun parti itu mampu menangkis tanggapan buruk netizen dengan membuktikan kewibawaan prinsip parti untuk membela nasib rakyat tanpa dianaktirikan.
Namun, kemenangan satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada PRN Johor lalu bukan jaminan Muda mampu mengulangi kejayaan sama pada PRN akan datang. Walaupun ketika itu Muda mendapat majoriti selesa iaitu 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Begitu juga kejayaan Syed Saddiq mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada PRU15 lalu bukan isyarat Muda semakin mendapat tempat di hati pengundi. Ini kerana, majoritinya merosot kepada 1,345 berbanding 6,953 undi pada PRU14. Pada PRU14, Syed Saddiq bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bahkan, dalam sidang media lalu, Syed Saddiq sendiri mengaku menghadapi masalah untuk menarik pengundi berusia 40 hingga 55 tahun, bagaimanapun mendakwa mempunyai ramai penyokong berusia 60 tahun ke atas.
Untuk membuktikan Muda relevan dan bukan sekadar semangat, calon mereka perlu bekerja lebih kuat meyakinkan rakyat Malaysia.
Mungkin perlu mencabar diri bertanding di kawasan ‘luar jangkauan’ iaitu di negeri Pantai Timur. Jangan sekadar semangat melaungkan slogan politik baharu tetapi hanya meletakkan calon di negeri-negeri maju seperti Selangor.
Dengan keberanian yang ditonjolkan Muda, barulah orang ramai tidak kira muda atau tua yakin untuk mengundi parti itu pada masa akan datang.
Kalau tidak, Muda mungkin hanya tinggal semangat, tapi tiada keupayaan.
* Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi ialah Penolong Penerbit Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!