Rumah terbakar, dua beradik melecur ketika selamatkan diri
KOTA TINGGI - Dua beradik melecur pada bahagian tangan dan badan ketika cuba menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Taman Bayu Damai, Pengerang di sini terbakar, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lim Bee Sing, 59, dan Lim Bee Hea, 70, diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit di sini untuk rawatan lanjut.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran dua rumah jenis struktur kekal yang masing-masing musnah 90 peratus dan 30 peratus serta terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas berada di sebuah rumah.
"PKO kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki dua pancutan sumber pili bomba berhampiran sehingga api padam sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, Ezam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari sebelum 32 anggota dan jentera digegaskan ke tempat kejadian.
"Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian dua rumah yang bersebelahan itu masih dalam siasatan, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 1.54 tengah hari," katanya sambil menambah, kebakaran di sebuah lagi rumah tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!