Proses STR lebih mudah dan cepat di kaunter BSN
Urusan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi Fasa 3 yang dipercepatkan tarikh pembayarannya bermula 26 Jun, dilihat lebih teratur dan berjalan lancar.
Tinjauan Sinar Harian di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Utama Kedah mendapati rata-rata penerima yang hadir berpuas hati apabila tempoh menunggu kurang daripada 10 minit tanpa perlu beratur.
Pemberian STR menjelang sambutan Aidiladha juga memberi peluang kepada penerima membuat persiapan raya dengan wang bantuan yang diterima.
Pada masa sama, penerima turut berharap agar kerajaan mengekalkan pemberian STR terutama kepada golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.
Seorang pesara tentera, Wan Mohd Ali Wan Long, 87, bersyukur proses pengambilan wang STR kali ini lebih teratur.
“Saya lihat, hari ini nampak lebih baik sistemnya dan juga teratur. Kami tak perlu tunggu lama cuma bagi kad pengenalan, ambil nombor giliran kemudian sudah boleh ambil duit di kaunter,” ujarnya.
Katanya, bantuan STR ini sangat membantu rakyat terutama golongan B40 yang dihimpit kekangan kewangan.
Baginya, STR patut diteruskan untuk membantu lebih ramai yang memerlukan.
“Berkaitan nilainya pula, RM300 ni pun dah cukup bersyukur, kalau nak kira tak cukup, sampai bila pun tak akan cukup.
“Jadi, terima kasih kepada kerajaan kerana beri bantuan ini untuk ringankan beban kewangan kami,” katanya.
Persiapan Aidiladha
Seorang lagi penerima, Md Jalil Md Ali, 72, memberitahu bahawa wang STR yang diterima itu akan dikongsi bersama ahli keluarga sebagai persiapan Aidiladha.
“Saya akan beri pada anak dan cucu-cucu buat beli kuih raya. Alhamdulillah syukur sebab dapat duit ni dekat-dekat nak raya,” katanya.
Bagi Md Jalil, walaupun pada ketika ekonomi semakin pulih kelak, kerajaan disarankan supaya mengekalkan pemberian STR kepada rakyat.
“Kita nak duit ini kembali kepada rakyat, jadi eloklah jika kekalkan STR ini dan salurkan kepada golongan sasaran iaitu rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.
Penerima STR, J Arivenraj, 27, akan menggunakan wang bantuan yang diterimanya untuk membeli barang keperluan harian.
“Bila ada duit bolehlah guna untuk beli barang rumah, rasa senang hati bila ada duit tambahan.
“Tapi kalau kerajaan boleh tambah sikit lagi bayaran untuk golongan bujang, saya rasa okey juga sebab kos sara hidup sekarang makin tinggi,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Hambali Saad,75, yang mahu golongan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan, dibantu secara berterusan menerusi pemberian STR.
“Mereka yang ada duit pencen lega juga, tapi macam saya yang dulu bekerja sendiri, bila sudah tua tak ada pendapatan lain.
“Jadi duit STR inilah nak guna untuk beli ubat dan beli keperluan rumah. Tambah pula kali ini dapat dekat nak raya, memang legalah juga,” katanya.
Layari www.belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan2023
#BelanjawanMADANI
BAYARAN STR:
Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum sambutan Aidiladha.
Bayaran dilakukan secara automatik ke dalam akaun bank penerima bermula 26 Jun – 5 Julai 2023.
Bagi yang tidak mempunyai akaun bank, wang tunai boleh ditebus di cawangan BSN mulai 26 Jun 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!