Polis buru lelaki bermotosikal tembak ke arah rumah

Pasukan D10 menjalankan siasatan di hadapan rumah mangsa di Kuala Gula pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Mohd Yusri)
Pasukan D10 menjalankan siasatan di hadapan rumah mangsa di Kuala Gula pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A
A

BAGAN SERAI - [KEMAS KINI] Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah di Kuala Gula di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu disedari oleh pemilik rumah yang tinggal bersama isteri dan empat anaknya sebelum melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 56 tahun memaklumkan terdengar bunyi letupan di luar rumahnya dan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Menurut beliau, penghuni rumah terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan tembakan pada kereta, motosikal dan pintu rumah mangsa.

"Pasukan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Yusri berkata, hasil siasatan mendapati suspek menaiki sebuah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa.

"Pihak polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan usaha menjejaki suspek giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Inspektor Mohd Zulhimi Dahon di talian 013-2604403 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!