Pejuang Selangor timbang letak calon PRN

Harumaini (Kanan: Kenyataan media Pejuang Selangor pada Selasa)
Harumaini (Kanan: Kenyataan media Pejuang Selangor pada Selasa)
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Selangor menimbang secara serius untuk memuktamadkan calon bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Ogos depan.

Ketua Pejuang Selangor, Harumaini Omar berkata, perkara itu diperhalusi selepas parti tersebut mencapai satu kata sepakat pada Ahad lalu.

Menurut beliau, keputusan itu diambil selepas memperhalusi kehendak akar umbi dan pengundi yang mengharapkan Pejuang menyertai PRN di beberapa kawasan strategik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Pendekatan baru secara bersasar akan digunakan Pejuang Selangor dengan memberikan pertimbangan kepada kekuatan jentera, sokongan akar umbi, demografi penduduk dan perkembangan politik semasa.

"Selain itu, pendekatan lain seperti kriteria calon yang bertanding dan beberapa faktor lain termasuk analisis pasca nilai (post mortem) dalaman yang telah dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, tegas beliau, Pejuang Selangor menzahirkan penolakan kepada politik retorik.

"Pejuang akan mendokong politik pragmatik dalam agenda menyelesaikan permasalahan sebenar rakyat," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!