Koperal didenda RM30,000 terima rasuah
MELAKA - Seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas tuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3,600.
Tertuduh Mohd Hanif Mohamad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh di sini, antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam dan perlu menjaga nama baik kerajaan.
Peguam bela tertuduh, Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda dikenakan atas alasan tertuduh perlu menyara isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu yang uzur dan adik beradik yang masih belajar selain tertuduh hanya bekerja sebagai penjual ikan selepas ditahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!