Manfaat sepenuhnya kedatangan Ramadan
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya memanfaatkan sepenuhnya kedatangan Ramadan.
Beliau berkata, Ramadan merupakan bulan yang membawa seribu rahmat dan pengampunan daripada ALLAH.
"Sudah pasti pada kesempatan ini kita semua tidak mahu melepaskan peluang menambah ibadah, menggapai rahmah, meningkatkan maghfirah (pengampunan) demi merealisasikan impian Jannah.
"Saya menyeru untuk diri saya sendiri dan seluruh rakyat Malaysia agar kita bersama-sama memanfaatkan peluang ini sedaya upaya mungkin agar Ramadan yang sarat dengan kurniaan ALLAH ini tidak berlalu pergi begitu sahaja, sedangkan hubungan kita dengan-Nya masih di takuk lama," katanya dalam Perutusan Ramadan 1440H, hari ini.
Dr Wan Azizah turut menyeru umat Islam mencontohi keperibadian Nabi Muhammad yang cergas dan sangat arif menguruskan agenda hidup baginda pada bulan Ramadan.
Katanya, pengurusan hidup yang seimbang antara keperluan rohani, spiritual dan khidmat masyarakat adalah kunci kejayaan umat Islam sejagat.
"Saya berharap agar Ramadan 1440H benar-benar mampu mendidik kita semua menjadi umat yang bertakwa dari sudut vertikal iaitu hubungan dengan ALLAH SWT dan sudut horizontal iaitu hubungan sesama makhluk. Biar Ramadan kali ini menjadikan kita semua jaguh kemanusiaan sejagat. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!