Video bogel: Mekanik rugi RM200,000 diugut Yaya
KUALA KANGSAR - Seorang mekanik kerugian RM200,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya oleh seorang wanita yang dikenali sebagai 'Yaya' di sini pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 30 tahun mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.
"Suspek meminta mangsa menerima panggilan video dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu 'istimewa'. Setelah menerima panggilan itu, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan bogel dan melakukan aksi ghairah.
"Mangsa yang terpengaruh turut sama berbogel dan melakukan aksi tidak senonoh bersama suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, mangsa tidak menyedari perbuatannya itu dirakam hinggalah suspek menghantar rakaman itu sebelum menamatkan panggilan.
"Mangsa diugut supaya memberikan wang dan sekiranya enggan, suspek akan menyebarkan video rakaman itu di media sosial.
"Mangsa kemudiannya memindahkan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke lima akaun berbeza," katanya.
Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu dikenali di media sosial dan seterusnya menjadi mangsa jenayah pemerasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!