Keputusan permohonan masuk universiti diumum Jumaat ini
SHAH ALAM - Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan Jumaat ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, ia termasuk keputusan permohonan ke Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma bagi Sesi Akademik 2023/2024.
Keputusan tersebut boleh disemak secara dalam talian bermula pukul 12 tengah hari (7 Julai) hingga 5 petang, 16 Julai ini melalui pautan https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.
Selain itu keputusan berkenaan boleh disemak melalui aplikasi UPUPocket di telefon pintar.
"Pengesahan setuju terima atau tolak tawaran bermula pada 8 hingga 16 Julai 2023 di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.
"Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu KPT turut memaklumkan, hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik dalam tempoh 10 hari bermula 7 Julai (12 tengah hari) sehingga 16 Julai (5.00 petang).
Bagi rayuan ke KK dan ILKA, permohonan boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
"Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA atau ILKA tidak dibenarkan.
"Dasar pemilihan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!